Satu Kerjasama Seribu Makna
17th February 2020
ERA memulakan tahun 2020 menerusi kerjasama yang cukup bermakna dengan pihak Insaf Malaysia, di mana kami telah diberi peluang untuk menyumbangkan produk ERA dalam program ‘Lunch Box’ dan ‘Food Bank’.
Insaf Malaysia sememangnya cukup dikenali melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, terutama kerja-kerja membantu mangsa bencana alam dan pihak yang memerlukan, baik di dalam mahupun di luar negara, sepanjang 11 tahun usia penubuhan mereka. Itulah sebabnya peluang untuk bekerjasama dengan Insaf Malaysia kali ini memberikan pengalaman yang cukup berharga buat seluruh warga ERA; sekaligus menjadi petanda tahun yang baik buat kedua-dua pihak.
Program ‘Lunch Box’ melibatkan pengagihan 200 kotak makanan tengahari ke 10 buah sekolah terpilih sekitar Kuala Lumpur setiap hari, di mana setiap sekolah akan menerima 20 kotak. Pada musim cuti sekolah pula, kotak-kotak makanan ini akan dihantar ke rumah-rumah anak yatim terpilih sekitar ibu kota. Untuk program ini, kami telah memperuntukkan sebanyak 300kg beras ERA sebulan, atau bersamaan dengan 360 pek beras ERA 10kg setahun.
Pada masa yang sama, program ‘Food Bank’ pula menyaksikan Insaf Malaysia menyediakan 100 set keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan. Setiap set ini mengandungi satu beg beras, minyak masak, gula dan barang-barang keperluan asas yang lain. Untuk program ini pula, ERA akan menyumbangkan 1,200 pek Beras ERA Nagasari Import 5kg, 1,248 tin Krimer ERA dan 1,248 tin Susu Sejat ERA.
Peluang kerjasama ini bukan hanya hasil inisiatif kami dan Insaf Malaysia, malah juga hasil sumbangan anda secara tidak langsung dengan membeli produk ERA. Justeru, kami amat menghargai sokongan anda terhadap jenama ERA, yang telah memungkinkan usaha murni ini dilaksana. Semoga inisiatif seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
Kenali Insaf Malaysia dengan lebih dekat lagi menerusi laman Facebook https://www.facebook.com/insafmalaysia/.