Resipi Power #DapurERA
15th November 2019
Bagi setiap keluarga, hidangan yang terbaik pastinya hasil air tangan ibu atau isteri. Kaum ibu dan para isteri merupakan golongan yang benar-benar tahu selok belok serta setiap ramuan penting di dapur, dalam menyediakan pelbagai hidangan setiap hari. Sebab itulah ERA mengambil inisiatif untuk menunjukkan penghargaan terhadap kaum ibu, dengan mengetengahkan pakar-pakar masakan rumah ini ke layar kaca!
Mulai 18 November ini, satu siri program memasak yang diberi judul Resipi Power #DapurEra akan menemui anda setiap Isnin dan Selasa, jam 9.50 malam di TV3. Program memasak terkini ini juga boleh anda tonton di mana saja menerusi laman YouTube dan Facebook ERA, pada jam 10.30 malam, hari yang sama.
Resipi asas program ini sendiri sudah cukup ‘power’ - 16 wakil kaum ibu dari seluruh Malaysia dengan pengalaman masing-masing selama bertahun-tahun sebagai ‘chef’ di rumah, diberi peluang untuk menonjolkan aksi dan kebolehan memasak mereka di kaca televisyen, dengan ditemani oleh bintang kesayangan kaum ibu, Izzue Islam, sebagai hos!
Dalam setiap episod program memasak yang berdurasi 10 minit ini, kita akan saksikan dua orang ibu memasak semula hidangan yang diberikan dengan cara dan ramuan tersendiri. Setiap juadah pula dimasak menggunakan produk ERA, yang pastinya mudah dimasak dan sesuai untuk apa jua resipi!
Tak cukup dengan kerenah nakal Izzue yang cukup kuat mengusik sambil menggali kisah di sebalik setiap resipi, kita tampilkan pula juri-juri misteri yang terdiri daripada wajah-wajah popular tanahair untuk mengadili setiap masakan. Memang kecoh! Memang power! Kalau nak tahu siapa, jangan lupa temujanji kita setiap malam Isnin dan Selasa. Sambil itu, terus ikuti kami di Facebook untuk memenangi pelbagai produk dan hadiah menarik!